Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan
tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari
kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat
balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah
sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.”
[Al-Baqarah 2: 110]
Zakat merupakan suatu kewajipan buat umat Islam dan diperintahkan oleh Allah dalam rukun Islam yang ketiga. Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Terdapat pelbagai jenis zakat harta dan salah satunya ialah zakat emas & perak.
Antara syarat wajib zakat ialah:
- Islam
- Pemilikan sempurna
- Cukup Nisab
- Cukup haul
- Harta berkembang
Emas digunakan secara meluas sebagai pengganti wang dalam urusan jual beli pada suatu ketika dahulu. Emas-emas akan ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan nilainya akan ditentukan atas berat emas tersebut. Selain daripada itu, emas juga ditempa menjadi barang perhiasan wanita. Di dalam Islam, emas dipandang sebagai simbol kekayaan harta yang berharga. Oleh kerana itu, Allah SWT mewajibkan zakat ke atas emas.
Emas yang wajib dizakatkan terbahagi kepada:
- Emas perhiasaan
- Emas bukan perhiasaan (piala-piala yang diperbuat daripada emas, syiling & jongkong)
- Emas bercagar
- Perak (595 gram)
Zakat emas bukan perhiasaan dan emas bercagar hanya menjadi wajib apabila melebihi batas minimum pemilikannya iaitu dipanggil sebagai nisab. Ulama bersepakat nisab bagi zakat emas disimpan bersamaan dengan 20 dinar (85 gram). Zakat emas ini juga hanya wajib apabila telah melepasi tempoh masa emas tersebut dimiliki iaitu 12 bulan atau setahun yang dipanggil sebagai haul.
Bagi emas perhiasaan pula, ia hanya perlu dizakatkan apabila emas perhiasaan tersebut bukan bertujuan untuk dipakai tetapi untuk dijadikan sebagai aset simpanan. Emas perhiasaan juga wajib dizakatkan apabila ia telah termasuk ke dalam kategori berlebihan dan melebihi kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (uruf).
Uruf bagi setiap negeri juga berbeza-beza dan berubah dari tahun ke tahun.
Negeri | Nilai Uruf |
---|---|
Selangor & Kuala Lumpur | 800 gram |
Johor | 850 gram |
Terengganu | 850 gram |
Perak | 500 gram |
Pahang | 500 gram |
Negeri Sembilan | 200 gram |
Melaka | 180 gram |
Kedah | 170 gram |
Perlis | 85 gram |
Penang | 165 gram |
Sabah | 152 gram |
Sarawak | 90 gram |
Kelantan | Tiada uruf |
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa emas wajib dizakatkan apabila telah masuk ke dalam kategori yang wajib dizakatkan iaitu emas yang bertujuan untuk simpanan atau emas perhiasaan yang tidak dipakai dan telah melebihi uruf.
Ar-Rahnu Express menyediakan perkhidmatan kiraan zakat emas secara percuma. Hubungi mana-mana cawangan kami yang berdekatan dengan anda atau kunjungi sendiri untuk dapatkan nasihat daripada khidmat pelanggan kami.
Anda juga boleh menonton LIVE: KIRAAN ZAKAT EMAS BERSAMA ECHA DAN LEMBAGA ZAKAT SELANGOR di Facebook Ar-Rahnu Express. Untuk mengetahui cara kiraan zakat emas, anda boleh tonton Zakat Emas dan Cara Kiraannya bersama Afiqah di laman YouTube Ar-Rahnu Express.
Sumber:
- Jurnal Pengurusan JAWHAR. 2014. Zakat ke Atas Harta Emas : Amalan dan Pelaksanaan di Malaysia. Vol. 8 (1)
- Lembaga Zakat Selangor